Hubungan Islam Dengan
Sains Dan Teknologi
Hubungan antara Islam dengan sains dan teknologi adalah
ibarat isi dan kuku, tidak dapat dipisahkan kerana sama-sama mempunyai peranan
dan sumbangan yang penting dalam membina tamadun manusia. Sains dan teknologi
membawa kemajuan, kemudahan dan keselesaan, manakala Islam pula memimpin
manusia ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan juga di
akhirat.
Sains wujud daripada perasaan ingin tahu manusia
terhadap alam sekelilingnya dan merupakan salah satu cabang utama ilmu
pengetahuan yang dapat digunakan untuk meningkatkan keimanan. Sungguhpun Islam
telah memberikan garis kasar terhadap kaedah dan jawapan kepada banyak
persoalan sains, namun ianya masih memerlukan pengkajian yang mendalam untuk
membuktikan kebenarannya. Atas sebab inilah maka Islam sangat menuntut umatnya
mencari, mengembang dan menguasai ilmu pengetahaun.
PENCAPAIAN DAN REALITI
Sejarah telah membuktikan bahawa suatu masa dahulu,
umat Islam adalah umat yang sangat dihormati kerana ilmu pengetahuan yang
mereka miliki. Nama-nama seperti Ibn Sina, Ibn Rush, Al Khawarizmi, Al Biruni
adalah di antara tokoh-tokoh yang tidak asing lagi samada di dunia Timur
ataupun Barat. Penghormatan yang diterima ini adalah melalui pencapaian mereka
di bidang sains dan teknologi serta pegangan yang kukuh terhadap Al Quran dan
Hadis.
Sungguhpun umat Islam telah menunjukkan kehebatan yang
tiada tandingnya pada masa lampau, tetapi kini suasana yang wujud adalah jauh
berbeza. Umat Islam sekarang tidak lagi menguasai bidang sains dan teknologi,
sebaliknya ilmu tersebut telah berpindah dan dikuasai oleh masyarakat Barat dan
Timur Jauh. Apa yang lebih malang lagi ialah bilamana umat Islam itu sendiri
sudah hilang identiti Islamnya dan tidak lagi dihormati.
ANUGERAH AKAL
Islam yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada
baginda junjungan nabi Muhammad s.a.w. adalah lengkap dan sempurna serta sesuai
dengan fitrah kejadian manusia. Sementara kejadian manusia yang serba indah ini
pula dihiasi dengan anugerah akal oleh Allah kepada manusia untuk berfikir.
Oleh itu peranan akal yang telah dianugerahkan ini
sangatlah besar. Ianya bukan sahaja dapat digunakan untuk kepentingan mencari
ilmu tetapi juga untuk "melihat" kebenaran. Dengan sebab itulah Islam
sangat menggalakkan umatnya untuk menggunakan akal demi untuk mencari
kebenaran. Di dalam Al Quran banyak ayat-ayat yang diakhiri dengan Allah
bertanya kepada manusia seperti, "Tidakkah kamu menggunakan akal" dan
"Tidakkah kamu memikirkan".
SAINS DAN TEKNOLOGI
Islam telah menetapkan bahawa setiap perkara itu adalah
tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh Al Quran dan Sunnah
Nabinya, dan tidak terkecuali juga ilmu sains dan teknologi. Oleh itu ilmu
sains dan teknologi yang diterima oleh Islam adalah ilmu yang dipimpin dan
disuluh oleh Nur Ilahi, kerana hanya dengan itu ilmu tersebut tidak akan
bersifat menindas dan menganiaya makhluk lain.
Sebenarnya, di dalam Al Quran itu sendiri sudah
terkandung ilmu sains dan teknologi yang hanya menunggu untuk dikaji dan
dikembangkan oleh mereka yang memahami dan mengamalkannya. Setiap ayat yang
terkandung di dalamnya mempunyai maksud dan makna yang tertentu yang perlu
digali, diteliti dan direnungi, sebab Al Quran adalah sumber ilmu pengetahuan
yang terbesar dan terpenting. Jika tidak mutiara Al Quran itu tidak akan
menyerlah dan memancarkan cahayanya untuk menyinari kehidupan umat manusia.
Berdasarkan kepada hakikat inilah maka umat Islam perlu
mengambil manfaat daripadanya dengan menggunakan akal fikiran yang dikurniakan
oleh Allah untuk menjalankan pengkajian yang bersifat empirikal dan saintifik.
Sekiranya ini dapat dilaksanakan, maka tidak syak lagi zaman kegemilangan Islam
dapat dikembalikan dan Islam sekali akan menjadi sumber inspirasi kepada
kemajuan tamadun dan kekuatan ummah.
KEPENTINGAN ISLAM
Ilmu sains dan teknologi tanpa Islam adalah seperti
sebilah pedang di tangan seorang yang mabuk, atau cahaya api di tangan seorang
pencuri yang memungkin dia mencuri barang-barang yang terbaik. Atas sebab
inilah pemisahan antara Islam dengan sains dan teknologi hanya akan membawa
kepada kemusnahan kerana mereka yang menguasai ilmu tanpa pimpinan agama akan
dipimpin oleh nafsu haloba.
Oleh itu peranan agama adalah sangat penting dalam
memastikan segala ilmu termasuk sains dan teknologi tidak disalahgunakan untuk
kepentingan individu ataupun golongan tertentu. Senario dunia masakini juga
seolah-olah menuntut umat Islam untuk kembali untuk menguasai ilmu sains dan
teknologi sebagai saluran untuk mencapai kemajuan dan pemodenan.
PERANAN UMAT
Sebagai umat Islam yang bijak, agama itu tidak
seharusnya dilihat hanya sebagai ibadat ditikar sembahyang sahaja, tetapi ianya
perlu dilihat dari perpektif yang lebih luas dan menyeluruh. Hubungan manusia
bukan hanya terhad dengan Allah sahaja tetapi juga dengan manusia yang lain dan
alam sekelilingnya.
Oleh itu, tanggungjawab-tanggungjawab ini perlulah
disempurnakan dengan sebaik-baiknya, kerana Islam bukanlah hanya sekadar slogan
untuk dilaungkan tetapi menuntut supaya dilaksanakan. Agama tanpa sokongan
sains dan teknologi akan mudah pincang dan meletakkan umatnya dalam keadaan
serba lemah dan kekurangan. Oleh itu umat Islam perlulah menjadikan dirinya
seorang Muslim yang berilmu dan bertaqwa.
Gabungan ilmu, iman dan taqwa serta akhlak yang mulia
adalah faktor yang utama untuk memungkinkan Islam kembali diterima sebagai
agama yang universal dan progresif.
|
Tidak ada komentar:
Posting Komentar